Jendela baru ISS beri pandangan luas angkasa lepas
CAPE CANAVERAL, Florida 17 Feb. - Angkasawan berjalan di angkasa yang ketiga dan terakhir malam tadi serta membuka jendela angkasa baru Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), membolehkan krew mengorbit untuk meninjau angkasa lepas dengan lebih baik.
Robert Behnken dan Nicholas Patrick perlu menjalankan banyak tugas di luar, namun yang paling ditunggu-tunggu adalah pembukaan tujuh jendela baru ISS dalam tugas akhir misi berjalan di angkasa.
"Mari kita buka penutupnya," demikian arahan komander George Zamka kepada angkasawan.
"Ia mungkin modul terkecil ISS tetapi perkara baik selalu datang dalam bungkusan kecil," ujar Patrick.
Behnken dan Patrick tidak mengalami masalah mengalihkan penutup penebat keras jendela tersebut dengan Zamka menyatakan kilauan besi daripadanya sebagai hebat.
Patrick kemudian membuka kunci penutupnya dan selepas itu angkasawan di dalam akan membukanya, sekiranya semua berjalan lancar mereka akan dapat menikmati pemandangan paling besar dan paling jelas Bumi.
Kawalan Misi mahu penutup dibuka semasa angkasawan masih berjalan di angkasa supaya mereka boleh menjadi perantara sekiranya sesuatu berlaku. Bagi mengelakkan masalah, Behnken dan Patrick diarahkan berada pada jarak sekurang-kurangnya tiga meter dari jendela itu selepas penutupnya dinaikkan.
NASA tidak mahu mereka tersepak atau terlanggar jendela itu dengan beg peralatan.
Bilik pemantauan bernilai AS$27 juta (RM91.5 juta) itu adalah sebahagian daripada bilik baru ISS, Tranquility. Kapal angkasa Endeavour membawa bahagian yang dibina Eropah itu minggu lalu.
Kubah binaan Itali dengan tinggi 1.5 meter dan berdiameter 3 meter itu direka untuk memberikan pemandangan 360 darjah planet Bumi dan angkasa lepas serta ISS sendiri. Ia bukan hanya untuk dinikmati krew kerana stesen kerja robot akan dipasang esok supaya angkasawan dapat melihat dengan jelas semasa mengendalikan lengan mekanikal ISS.
Enam jendela berbentuk trapezoid terdapat di sekeliling kubah dengan bahagian tengah bersaiz 79 sentimeter, jendela terbesar diterbangkan di angkasa.
Dalam operasi normal, krew ISS dibenarkan membuka jendela itu sepanjang masa namun bahagian yang berdepan dengan ISS perlu ditutup kecuali semasa pengendalian robot, bagi mengelakkan perlanggaran dengan meteor kecil.
Sementara itu di tapak pelancaran, NASA menangguhkan pelancaran Discovery daripada pertengahan Mac kepada 5 April kerana cuaca sejuk yang mengganggu operasi. Kini terdapat empat lagi penerbangan ke angkasa. - AP