Bau badan satu gangguan
SAYA harap anda semua tidak salah faham kenapa saya yang diundang ke majlis ini. Begitu juga sebaliknya, saya tidak akan salah faham atau berfikir yang bukan-bukan kenapa agaknya anda yang dihantar ke majlis ini," kata-kata pelakon komedi Douglas Lim bersahaja mengundang ketawa wakil media yang hadir.
Mana tidaknya, majlis hari itu diadakan khusus untuk memperkenal deodoran Shower Clean terbaru Rexona.
Pertanyaan Douglas menyebabkan semua yang hadir terfikir adakah mereka individu paling bermasalah dengan bau badan hingga dihantar untuk tugasan itu!
Bercakap tentang bau badan, mungkin bagi sesetengah individu bunyinya memang lucu. Tetapi tidak bagi mereka yang mengalaminya dan tidak juga bagi mereka yang berada di sekitar orang yang memiliki bau badan.
Penulis juga pernah terbaca laporan pasangan suami isteri yang bercerai-berai kerana tidak tahan dengan bau badan pasangan.
Malah, di negara China, satu syarat yang ditetapkan dalam permohonan menjadi austronaut ialah tidak menghadapi masalah bau badan.
Sukar untuk menanganinya
Bagi Hasrul Omar, 33, pengalamannya memiliki sahabat yang menghadapi masalah itu agak melucukan.
Menurut beliau, temannya itu seorang yang gemar bersukan. Sayangnya, bau badannya yang terlalu kuat menyebabkan beliau tidak disenangi rakan-rakan.
"Sebagai kawan, saya memang simpati dengan dia. Lama jugalah saya fikir macam mana nak bagi tau. Tapi disebabkan dia jenis yang selamba, akhirnya saya berterus terang saja.
"Berterus-terang rupa-rupanya lebih mudah. Dia marahkan saya pula sebab tak bagi tahu lebih awal. Sekarang perkara ni jadi bahan lawak apabila kami sesekali berkumpul beramai-ramai," cerita Hasrul.
Berbeza pula dengan Marini Zulkifli, 27, kerana terpaksa menahan nafas setiap kali berhadapan dengan rakan sekerjanya.
"Saya tidak pasti apa puncanya. Mungkin dia jarang mandi pagi atau memang tidak suka memakai deodoran. Orangnya peramah tapi malangnya dia tak sedar di belakang ramai yang mengata," cerita Marini.
Menurut Marini, macam-macam cadangan yang diberi bagaimana hendak memberitahu si pemilik bau badan berkenaan. Hingga ada yang menyarankan mereka membeli set wangian dan deodoran kepadanya.
"Tapi tak ada yang sanggup buat begitu sebab bimbang akan memalukan dia. Kalau lelaki mungkin lebih mudah, tapi untuk seorang wanita, ia satu perkara yang amat memalukan."
Jika bernasib baik, ada yang baik hati menegur dengan cara yang berhemah. Jika tidak, ia berterusan tanpa disedari dan akan terus menimbulkan perasaan kurang senang orang sekeliling.
"Muka cantik, tapi sayang badan berbau," ayat yang biasa didengar. Tetapi masalah ini bukan hanya untuk kaum wanita sahaja. Kaum lelaki juga perlu tahu bahawa mereka juga mempunyai masalah yang serupa.
Maka, selalu jugalah kita ditunjukkan dengan iklan deodorant khusus untuk lelaki. Ini kerana bau badan lelaki lebih kuat dan menyengat daripada bau badan wanita.
Punca bau badan
Tidak kiralah lelaki atau wanita, penyebab kepada masalah bau badan tetap sama.
Peluh antara penyebab utama kepada masalah ini. Terdapat dua kelenjar peluh iaitu kelenjar ekrin yang bertindak mengeluarkan sisa metabolisme tubuh dan turut berguna untuk mengawal suhu badan.
Satu lagi ialah kelenjar apokrin yang terletak di daerah ketiak, payu dara, daerah anus dan alat sulit. Ia berfungsi aktif setelah remaja dan peluh yang dihasilkan dipengaruhi oleh rangsangan emosi.
Oleh kerana peluh dari kelenjar apokrin mengandungi banyak lemak dan protein, ia menimbulkan bau yang tidak enak apabila diuraikan oleh bakteria. Bau inilah menyebabkan ramai yang lari apabila berdekatan dengan si pemilik bau badan.
Faktor pemakanan juga antara penyumbang kepada masalah ini. Ada jenis makanan yang boleh menyebabkan badan berbau contohnya bawang putih, bawang Bombay, terlalu banyak makanan berempah dan juga merokok.
Selain itu, faktor kebersihan diri juga perlu dititikberatkan. Cara paling umum ialah menggunakan deodoran dan anti perspiran. Deodoran yang mengandungi bahan antiseptik dapat menghalang bakteria manakala anti perspiran pula mengandungi bahan yang dapat mengurangkan pengeluaran peluh.
Menyedari dilema ini, Rexona, satu daripada jenama deodoran turut mengeluarkan deodoran Shower Clean khusus untuk kaum wanita.
Dengan teknologi responsif kepada badan, deodoran itu dapat menghalang bau badan dalam jangka waktu yang panjang di samping memastikan bawah lengan (ketiak) sentiasa kering dan terlindung daripada bau.
Menurut Pengurus Jenama Rexona, Tanya Teng, pihaknya sentiasa mendengar kehendak pengguna dan menyedari pentingnya wanita berasa bertenaga dan dapat menumpukan perhatian bagi mencapai matlamat mereka.
"Di negara yang bercuaca panas dan lembap, kita mudah berpeluh sebaik sahaja keluar dari rumah. Oleh itu, pihak kami sentiasa mencari cara baru untuk meningkatkan kualiti produk kami supaya wanita boleh menikmati rasa kesegaran dan dilindungi sepanjang masa," jelasnya kepada Bernama.
Untuk lelaki juga
Selain untuk wanita, Rexona turut mengeluarkan produk khusus untuk bau badan lelaki yang dilancarkan pada Disember tahun lalu iaitu Rexona Men.
Sama ada berbau atau tidak, setiap individu perlu menjaga kebersihan diri. Mandi dan bersabun tiga kali sehari sahaja tidak cukup buat badan yang memang mengeluarkan bau semula jadi. Cegahlah gangguan diri terhadap orang lain dengan cara memakai deodoran dan anti-perspiran.
Bagi yang berkulit sensitif, mungkin boleh mencuba tawas atau batu mineral. Dengan cara ini, bukan sahaja si pemilik bau badan selesa, tetapi orang di sekelilingnya juga turut berasa nyaman. Tidak kiralah sama ada sewaktu bekerja atau bermain, bersesak di stesen LRT, bersenam di gim atau sekadar bersantai di rumah. - Bernama
(sumber:utusan malaysia.com)